KUALA LUMPUR: Perseorangan profesional negara Lee Zii Jia mahu isu pertikaian peminat badminton tanah air terhadap laporan berita mengenai prestasi beliau tidak berpanjangan dan dapat diselesaikan dengan baik.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata demikian susulan tindakan pihak yang menggelarkan diri mereka ‘Badminton Lovers’ sebelum ini dilaporkan mengugut dan mengecam seorang wartawan tempatan yang menulis artikel mengenai prestasinya di Masters Malaysia minggu lepas.

Atlet kelahiran Kedah itu mengakui terkejut dengan situasi itu dan menggesa agar perkara sebegitu dihentikan untuk kebaikan semua pihak.

“Saya tahu mereka (peminat) sayang saya, perkara ini saya tak boleh kawal sebab jumlah peminat saya agak besar, jadi saya rasa harap kita boleh tamatkan dengan ‘peace and love’ (keamanan dan kasih sayang),” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam.

Minggu lepas, sebuah media tempatan melaporkan seorang wartawan telah membuat laporan polis gara-gara maklumat peribadinya dise­barkan di media sosial dan menerima kecaman daripada warga maya selepas menulis artikel mengenai juara All England 2021 itu.

Wartawan berkenaan turut dilaporkan menerima mesej berbaur ugutan dan kecaman daripada pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan tajuk berita tulisannya “Zii Jia Beri Alasan Tidak Sihat Sebagai Punca Kekalahan”.

Sementara itu, Hamidin menasihati peminat badminton supaya memahami bahawa sebarang teguran yang diberikan kepada Zii Jia mengenai prestasinya adalah bagi memastikan beliau kembali bangkit untuk negara.

“Zii Jia adalah pemain yang mempunyai aura berbeza di kalangan peminat. Apa pun yang diperkatakan oleh sesiapa untuk memberi komen kepada dia adalah dengan niat untuk memastikan dia kembali semula.

“Peminat patut faham kerana ada sesetengah (peminat) yang sensitif apabila Zii Jia dikritik dan saya harap perkara ini tidak berlaku lagi,“ katanya.

Semalam, Zii Jia telah berjumpa Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan keperluan dan persediaan beliau untuk berentap dalam kejohanan antarabangsa akan datang. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image