KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu perlu menyediakan lebih banyak kemudahan dan infrastruktur pertanian yang lebih sesuai serta berdaya saing, bagi menggalakkan penglibatan golongan belia dalam sektor tersebut.

Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) berkata hal itu penting, kerana sasaran yang perlu diletakkan terhadap bidang pertanian tidak seharusnya sekadar ‘cukup makan’ atau sara diri, malah Terengganu perlu menjadi hub pengeluaran bekalan makanan di negara ini.

“Pembinaan infrastruktur yang sesuai dan berdaya saing perlu dilaksanakan seperti penyediaan tapak pertanian baharu yang lebih sofistikated, sesuai dengan perkembangan teknologi semasa memandangkan kebanyakan rakyat Terengganu, menjadikan pertanian sebagai sumber kehidupan.

“Latihlah golongan belia kita yang berminat untuk terlibat dalam industri ini, dan kerajaan negeri serta agensi-agensi berkaitan perlu bertindak sebagai pemudah cara kepada golongan usahawan pertanian, untuk menggalakkan perkembangan sektor ini di Terengganu,” katanya semasa Sesi Perbahasan Enakmen Perbekalan 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Sulaiman turut menggesa kerajaan negeri menerusi agensi atau anak syarikat, memainkan peranan dalam memastikan rantaian sumber bekalan makanan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

“Kemelut yang ditimbulkan oleh kapitalis dan korporat besar sehingga menimbulkan krisis makanan seperti minyak, telur dan seumpamanya, mesti ditangani secara bijaksana oleh kerajaan. Penggunaan tanah (di Terengganu) juga hendaklah dioptimumkan bagi mengelakkan tanah terbiar yang merugikan,” katanya.

Sementara itu Maliaman Kassim (PAS-Ajil), menggesa kerajaan negeri melakukan kajian yang serius dan segera bagi mengatasi masalah banjir, yang sering kali melanda kawasan Mukim Hulu Berang di Hulu Terengganu walaupun hujan hanya turun dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata bencana alam yang sering berlaku itu, bukan sahaja memberi implikasi besar terhadap sektor pertanian dan penternakan, malah turut menjejaskan sektor pendidikan apabila proses pembelajaran murid di empat buah sekolah yang terletak di kawasan rendah, dinaiki air.

“Apabila berlaku banjir, empat buah sekolah akan terkesan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Betong, SK Lubuk Periok, SK Kua dan SK Gunong.

“Di SK Lubuk Periok contohnya, ia kawasan yang sangat rendah dan tidak sesuai sekolah ini berada di situ, sebab apabila hujan sekejap sahaja air masuk dalam pejabat dan kelas menyebabkan peralatan pejabat serta peralatan sekolah cepat rosak. Pelajar pun terpaksa balik kerana sesi pembelajaran tidak dapat diteruskan,” katanya.

Persidangan bersambung esok.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image