PUTRAJAYA: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) nyata teruja menyertai ribuan Keluarga Malaysia meraikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya hari ini.

Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata kira-kira 200 OKU terdiri daripada pelbagai kategori turut bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri dalam program Berjalan Teguh Bersama sejauh 2.7 kilometer bermula dari Dataran Putra ke Kementerian Wilayah Persekutuan, Monumen Alaf Baru dan berakhir di Dataran Putrajaya.

“Hari ini meriah, saya rasa seronok sangat sebab ramai sahabat yang datang juga daripada pelbagai kategori.

“Kami sebenarnya datang nak tengok pelancaran tapi saya seronok kerana dapat tolak kerusi roda dari Masjid Putra di Dataran Putra sampai ke mari (Istana Kehakiman),“ katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di sini hari ini.

Ras Adiba berkata beliau yang tiba pada 7.30 pagi turut bersama peserta dalam program berjalan santai itu dengan berkerusi roda di sepanjang laluan program tersebut.

Menurut Ras Adiba, sahabat OKU yang hadir berkongsikan rasa teruja kerana selain dapat menyertai sambutan yang meriah itu, mereka berasa seronok kerana dapat berjumpa ramai orang.

“Jadi tengok orang punya sambutan, orang ramai yang keluar beramai-ramai untuk meraikan majlis upacara kita pada hari ini. Amat mengagumkan.

“Semua senang hati sangat sebab dapat keluar untuk meraikan bersama Perdana Menteri, dapat bersama sahabat-sahabat yang dah lama tak jumpa dan yang pasti seronok rasanya dapat meraikan kita punya Bulan Kemerdekaan ini.

“Seronok sangat sebab dah lama tak keluar,“ katanya sambil menambah perbezaan keupayaan tidak langsung menghalang golongan OKU daripada berjalan bersama Keluarga Malaysia yang lain.

Firdaus Shukor, 30, yang merupakan OKU fizikal berkata penyertaannya dalam program hari ini didorong rasa bersemangat menyertai ribuan Keluarga Malaysia yang lain bersama-sama berjalan melewati beberapa lokasi di sekitar Putrajaya.

Firdaus yang merupakan atlet negara dalam sukan lawan pedang berkata perjalanan sejauh 2.7 kilometer itu tidak menghalang dirinya menyertai program berkenaan bersama peserta lain.

“Orang lain berjalan, saya pun boleh berjalan dengan cara saya tersendiri, menggunakan kerusi roda saya. Tiada masalah. Saya seronok,“ katanya yang tiba di Dataran Putra seawal 6.20 pagi.

D.Kamala Devi yang hadir bersama suami dan dua anaknya berkata mereka bergerak dari Taman Puchong Perdana seawal 7 pagi untuk turut sama memeriahkan program berjalan kaki itu.

Menurut Kamala Devi, beliau mengetahui program tersebut menerusi guru anaknya dan membawa kedua-dua anak lelakinya berusia enam dan lapan tahun dengan harapan mereka dapat mengenali secara dekat mengenai Keluarga Malaysia dan pemimpin negara.

“Anak lelaki sulung saya turut bergambar dengan pasukan konvoi kembara (Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022),” katanya.

Sementara itu, Anuar Rashadi, pekerja swasta di Petaling Jaya berkata beliau kebiasaannya datang ke Putrajaya setiap Sabtu untuk berbasikal tetapi kali ini bagi menyertai aktiviti jalan kaki.

Katanya, program seumpama itu perlu diadakan secara berkala di seluruh negara bertujuan meraikan kepelbagaian masyarakat selain dapat merehatkan minda setelah sibuk bekerja.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image