GEORGE TOWN: Kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) berharap kerajaan persekutuan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air melibatkan Sungai Muda yang menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata lebih 80 peratus air mentah diabstrak setiap hari oleh PBAPP datangnya dari Sungai Muda, justeru, sebarang kejadian melibatkan sungai itu menjejaskan perkhidmatan bekalan air kira-kira 80 peratus penduduk dan perniagaan berpusat di negeri itu.

“Kesan banjir kilat di Baling, Kedah baru-baru ini telah membuktikan bahawa ini adalah fakta. Pada 6 Julai lepas, air banjir menyebabkan kekeruhan air mentah dari Sungai Muda tiba-tiba meningkat sehingga 3,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit).

“Kekeruhan air Sungai Muda terlalu tinggi sehingga memaksa PBAPP menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. Penutupan LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang menjejaskan perkhidmatan bekalan air di sini selama enam hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk meminimumkan risiko berulang, Chow yang juga pengerusi PBAPP berkata kerajaan persekutuan perlu menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) untuk memulihara, mengurus dan melindungi seluruh lembangan Sungai Muda sebagai aset air di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Bagi tujuan membangunkan NCER, beliau berkata tumpuan perlu diberikan kepada sumber air kerana masalah bekalan air tidak baik untuk perniagaan dan akan menyebabkan penderitaan berjuta-juta orang.

Selain itu, Chow berkata kerajaan persekutuan juga perlu mempercepatkan penyiapan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang, melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak, menghentikan pembalakan di Ulu Muda serta menghalang Kedah daripada melaksanakan projek lapangan terbang Kulim dan cadangan perlombongan unsur nadir bumi.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image