WASHINGTON: FBI tidak menemukan dokumen sulit ketika melakukan pencarian di rumah percutian Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden (gambar) di Rehoboth, Delaware pada Rabu, menurut peguamnya, lapor Agensi Anadolu.

Pencarian dilakukan dari 8.30 pagi (1330GMT) hingga tengah hari (1700GMT), kata peguam peribadi Biden, Bob Bauer dalam satu kenyataan.

“Selaras dengan proses di Wilmington, DOJ (Jabatan Kehakiman) menjalankan semakan lanjut ke atas beberapa dokumen dan nota tulisan tangan yang dikatakan mempunyai kaitan ketika (Biden) menjadi Naib Presiden.

“Pencarian hari ini adalah langkah selanjutnya dalam proses DOJ...kami akan terus menyokong dan membantu proses ini. Kami akan memperoleh butiran lanjut selepas pencarian selesai pada hari ini,” katanya.

Sebelum ini beberapa dokumen sulit telah ditemukan di rumah Biden di Wilmington, Delaware dan di pejabat di Washington D.C.

Dokumen yang ditemukan pada tahun lepas itu antara lain termasuk memo perisikan AS dan bahan taklimat bertarikh antara 2013 dan 2016 berkaitan dengan Ukraine, Iran dan United Kingdom.

Bekas Presiden Donald Trump juga sedang disiasat berkaitan beberapa dokumen sulit susulan pencarian FBI di kediamannya di Florida pada Ogos tahun lalu.

Biden telah memberikan kerjasama terhadap siasatan yang dilakukan DOJ manakala Trump dikatakan berulang kali menghalang permintaan Arkib Negara supaya beliau memulangkan lebih 150 dokumen yang tidak dibenarkan untuk disimpan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image