KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap memberi fokus dalam memperkasa aset kelengkapan dan kebajikan kakitangan Jabatan Imigresen dalam Bajet 2023 yang bakal dibentang pada 7 Okt ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Khairil Niza Khairuddin berkata ia agar kakitangan jabatan itu dapat menjalankan tugas yang dilihat semakin mencabar pada masa hadapan.

Beliau berkata KPISM berharap kerajaan memberi peruntukan untuk penambahan kenderaan logistik bagi kegunaan pegawai imigresen semasa melakukan operasi, selain memohon agar Bayaran Insentif Penguatkuasa diberikan kepada semua pegawai imigresen gred KP-19 ke atas.

“KPISM juga berharap elaun perumahan kakitangan Jabatan Imigresen dinaikkan agar setara dengan elaun perumahan yang diberikan kepada kakitangan Polis Diraja Malaysia dan pemangkuan kenaikan pangkat perlu dipendekkan kepada lapan tahun berbanding 10 tahun bagi sesetengah skim perkhidmatan kini,“ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kakitangan Imigresen Malaysia Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata pihaknya berharap kerajaan memberi lebih dana bagi menaik taraf depot tahanan imigresen yang usang di seluruh negara.

Penganalisis jenayah itu juga berkata Bajet 2023 perlu dilihat sebagai persediaan kepada negara dalam menaik taraf infrastruktur di sempadan negara di Sarawak, selepas kerajaan Indonesia memutuskan untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan.

“Pintu masuk negara di Sarawak akan menjadi pintu masuk utama dan infrastruktur di sana perlu dipertingkat dan dikemas kini mulai sekarang,“ katanya.

Dalam pada itu, Shahul Hamid turut menggesa agar peruntukan disalurkan bagi menaik taraf sistem perkhidmatan dalam talian terutama membabitkan pembaharuan pasport antarabangsa yang sering mendapat rungutan daripada orang ramai.

Katanya, sistem itu perlu ditambah baik atau ditukar kepada sistem lain yang lebih cekap bagi memudahkan orang ramai.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image