PUTRAJAYA: Tiga pemilik akaun media sosial iaitu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) akan dipanggil untuk rakaman percakapan esok, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan aduan kandungan yang dimuat naik menerusi media sosial disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Rakaman percakapan untuk Chegubard dan Salim Iskandar akan dijalankan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, manakala untuk Papagomo pula di balai polis Setapak,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

MCMC juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.