SHAH ALAM: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah, dua minggu lepas.

Chai, 57 dan Loh, 53, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Chai dan Loh selaku pengarah KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dituduh berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada 6.30 pagi, 13 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chai yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore Sdn Bhd turut didakwa atas pertuduhan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Chai dan Loh bagaimanapun memohon jaminan rendah dan memberi jaminan dua anak guamnya itu tidak mempunyai risiko untuk keluar dari negara serta merupakan seorang dermawan yang sangat aktif dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Anak guam saya mempunyai sekitar 5,000 pekerja di 810 cawangan antaranya di Malaysia, Nepal, India dan Brunei dan tiada sebab untuk dia melarikan diri,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Chai dan Loh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu pasangan suami isteri Soh Chin Huat, 61, dan Goh Li Huay, 62, serta anak perempuan mereka Soh Hui San, 36, yang merupakan pengarah bagi syarikat pengedar Xin Jian Chang Sdn Bhd, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Soh yang juga mewakili syarikatnya Xin Jian Chang Sdn Bhd turut didakwa atas pertuduhan sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh dan menetapkan 29 April untuk sebutan semula kes. Peguam Lau Yi Leong mewakili tiga beranak itu.

Sebelum ini video dan tangkap layar gambar stoking tertera kalimah Allah yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka, tular menerusi media sosial sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pada 16 Mac lepas pengendali kedai rangkaian serbaneka itu memohon maaf susulan video tular penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.