Jaganathan mula peranan baharu dalam bidang akademik

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih olahraga kebangsaan R.Jaganathan kini beralih ke bidang akademik dengan berkhidmat di Fakulti Sains Sukan Wilmington Metropolitan University (Malaysian Chapter).

Selepas kontraknya sebagai ketua jurulatih skuad olahraga para kebangsaan tidak diperbaharui Majlis Sukan Nasional (MSN) Disember lepas, Jaganathan kini menjalankan peranan baharu sebagai profesor bersekutu.

Jaganathan, 64, berkata sasaran utamanya ialah membantu pelajar lepasan sekolah, terutama dari sekolah sukan, untuk meraih diploma atau ijazah bagi membolehkan mereka menceburi kerjaya dalam industri sukan.

“Saya mahu berkongsi sukan apa yang boleh membantu pelajar lepasan sekolah sukan untuk berjaya dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui di karnival sukan universiti itu di sini, hari ini.

Jaganathan yang mempunyai pengalaman 40 tahun dalam kejurulatihan telah membimbing antaranya, pelari pecut para Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi memenangi pingat emas Kejohanan Dunia dan Sukan Paralimpik, selain bekas pelari jarak jauh M. Ramachandran yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara 5,000 meter (m) and 10,000m.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image