PONTIAN: Lima individu ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak enjin terpakai melibatkan rampasan sebanyak 128,000 liter dalam serbuan di sebuah kilang di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas di sini, Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Johor SAC Jalaludin Hamid berkata kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 46 tahun yang terdiri daripada dua warga tempatan termasuk pemilik kilang, dua warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia itu ditahan dalam Op Bersepadu Kontaraban pada pukul 5.30 petang.

Jalaludin berkata sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi lebih enam bulan lepas dengan membeli minyak enjin terpakai dari kilang dan bengkel dengan harga 30 sen seliter, sebelum diproses dan dijual untuk pasaran tempatan pada harga RM1.80 sen seliter.

“Berdasarkan siasatan, kegiatan ini adalah untuk pasaran di sekitar Johor dan Lembah Klang, dan kita tidak nafikan mereka ini dapat banyak permintaan untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan di sini hari ini.

Menurut beliau minyak enjin terpakai yang dibeli itu akan diproses menjadi minyak diesel bagi kegunaan mesin-mesin di kilang, bagaimanapun minyak yang telah diproses tersebut dipercayai tidak sesuai untuk kegunaan kenderaan.

Jalaludin berkata pihaknya turut merampas antaranya 12 tangki lori, 14 tangki besar, sebuah lori tiga tan, 420 tong drum, 134 tong IBC (kontena pukal pertengahan) dan 11 pam penyedut minyak serta minyak enjin terpakai bernlai RM230,400.

Katanya jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7.3 juta.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kilang terbabit tidak mendapat kelulusan atau lesen sah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Dari segi status, kilang ini bukan haram, tetapi dari segi kebenaran atau kelulusan untuk menguruskan barangan berjadual iaitu minyak enjin terpakai ia memang satu kesalahan,” katanya.

Menurut Jalaludin dua lelaki tempatan itu telah dibebaskan dengan jaminan, manakala ketiga-tiga warga asing itu direman 14 hari bermula dari tarikh ditangkap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 34 (B)(1)(A), Seksyen 19 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63.-Bernama