P.Pinang harap peruntukan meningkat untuk projek infrastruktur

GEORGE TOWN: Pulau Pinang berharap kerajaan Pusat akan meluluskan lebih banyak peruntukan untuk projek infrastruktur yang akan memberi banyak manfaat kepada rakyat Pulau Pinang di bawah Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (gambar) berkata kerajaan negeri telah mengemukakan sejumlah 126 projek daripada 20 agensi negeri berbeza bernilai RM17.72 bilion untuk pertimbangan kerajaan Pusat dalam Bajet 2023 dan daripada jumlah itu, hanya RM2.9 bilion yang diperlukan sekarang.

“Semasa pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini, beliau telah meminta kerajaan negeri untuk mengemukakan kepada kementerian projek-projek yang memerlukan perhatian terutamanya berkaitan infrastruktur.

“Kami telah menyerahkan senarai 23 projek bernilai RM14.03 bilion kepada Kementerian Kewangan pada 14 September lalu untuk pertimbangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Chow mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan bayaran sara hidup sebanyak RM500 secara ‘one-off’ kepada seramai 5,262 pesawah di Pulau Pinang dalam masa terdekat untuk meringankan beban yang dihadapi para pesawah di negeri ini.

Katanya pemberian bantuan ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM2.63 juta dan akan dimasukkan terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang dan ia dijangka dimasukkan pada Oktober ini.

Mengulas lanjut, katanya keluasan tanaman padi di negeri ini ialah 12,105.59 hektar dengan bilangan pesawah seramai 5,262 orang.

Walaupun keluasan tanaman padi tidak seluas negeri lain, katanya data perangkaan pengeluaran padi negara tahun 2020 menunjukkan hasil purata padi di negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 4.831 metrik tan sehektar.

“Ini melepasi purata untuk Malaysia iaitu 4.039 metrik tan sehektar, bagi purata hasil luar musim 2021, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 5.595 metrik tan sehektar.

“Ia menunjukkan peningkatan hasil padi di negeri ini selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran padi di negeri Pulau Pinang,” katanya.-Bernama