KUALA LUMPUR: Simaero, penyedia global berpengalaman dalam latihan simulator penerbangan kepada syarikat, organisasi latihan dan juruterbang komersial, merancang untuk meluaskan operasi dengan menyasarkan pasaran Asia Pasifik, termasuk membuka pusat latihan di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata prospek pusat latihan itu memerlukan sehingga 600,000 juruterbang dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh dunia dengan separuh atau 300,000 daripadanya adalah di Asia.

“Bayangkan apabila pusat latihan ini sudah dibuka di Malaysia. Bukan sahaja juruterbang Malaysia tidak lagi perlu pergi ke Paris, malah kita juga dapat tarik juruterbang dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk mengikuti latihan di Malaysia,“ katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Instagram beliau hari ini ketika mencuba kemudahan Simulator Penerbangan Microsoft di Simaero Paris Training Center, di ibu negara Perancis.

Tengku Zafrul berkata terdapat simulator penerbangan untuk pelbagai jenis pesawat seperti Airbus, Boeing, ATR, dan pesawat ringan seperti Beech dan Fokker.

“Semua juruterbang perlukan latihan. Oleh itu, wujud permintaan tinggi bagi pusat latihan (seumpamanya). Ini belum lagi mengambil kira juruterbang sedia ada yang perlu menjalani latihan secara berkala,“ katanya.

Malah, beliau berkata usaha itu adalah sebahagian daripada aeroangkasa yang juga antara bidang yang diutamakan oleh MITI.

Pada hantaran sama, Tengku Zafrul turut berkongsi mengenai dua juruterbang Raya Airways, penerbangan kargo dari Malaysia yang sedang mengikuti latihan di situ berikutan ketiadaan kemudahan simulator penerbangan pesawat mereka di Malaysia.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image