Pengurus syarikat pembinaan disiasat buat laporan palsu

SEREMBAN: Polis menyiasat seorang pengurus syarikat pembinaan kerana disyaki membuat laporan palsu, kononnya kehilangan wang RM39,800 di dalam kenderaannya di Port Dickson, dekat sini yang sebenarnya digunakan untuk berjudi, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed(gambar) berkata taktik lelaki berusia 32 tahun, yang didapati sengaja mereka cerita tentang kehilangan wang tersebut kerana ingin melewatkan pembayaran gaji pekerja itu terbongkar, setelah disoal siasat polis kira-kira 11.15 malam tadi.

“Dalam kejadian pukul 9.33 malam, lelaki itu membuat laporan dengan mendakwa wang yang disimpan dalam beg sandang dan diletakkan di dalam kenderaan, telah hilang pada hari yang sama.

“Menurut lelaki itu, pada pukul 2.30 petang, dia mengeluarkan wang berjumlah RM45,000 dari sebuah bank di Cyberjaya bagi membayar gaji pekerja, dan meletakkan wang itu dalam beg sandang di bawah kerusi tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata lelaki itu kemudiannya ke rumah bapa saudaranya di Lukut dan menyerahkan RM4,700 kepada bapa saudaranya itu, sebelum mendapati duit berserta beg sandang telah hilang namun tiada kesan pecah cermin pada kenderaan sejurus selesai makan di kedai di Taman Sentosa, Lukut.

Bagaimanapun, beliau berkata setelah disoal siasat lanjut polis mendapati lelaki berkenaan sengaja mereka cerita tentang kehilangan wang berjumlah RM39,800 itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan orang awam diminta supaya tidak membuat apa-apa laporan polis palsu, bagi mengelakkan diambil tindakan undang-undang.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image