KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan segera RM80 juta bagi mewujudkan Pusat Jantung Negara Sabah sekali gus menjadikan ia pusat rawatan jantung kedua terbesar negara selepas Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penubuhan pusat itu berikutan kapasiti perkhidmatan kardiologi di Sabah adalah terbatas sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa mendapatkan rawatan sehingga ke Kuala Lumpur.

“Perkhidmatan kardiologi di Hospital Besar Kota Kinabalu (Hospital Queen Elizabeth 2) setakat ini ada klinik pakar, ada makmal kateterisasi invasif dan bukan invasif, ada dewan bedah kardiotorasik, ada tiga pakar dan 120 jururawat terlatih tetapi saya fikir ini tidak mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah.

“Maka dengan ini, saya umumkan bertempat di Kompleks Hospital Besar Kota Kinabalu, kemudahan khas iaitu blok khas untuk jantung negara yang disebut sebagai Pusat Jantung Negara Sabah. Dengan ini kita akan tambah segera tiga orang pakar, sokongan terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Perdana Menteri turut menasihati orang ramai supaya menjaga kesihatan dengan makan secara bersederhana, mengurangkan makanan bergula dan berlemak serta melebihkan aktiviti senaman bagi mengelakkan mereka daripada pergi ke pusat jantung untuk mendapatkan rawatan.

Menerusi ucapan itu, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan juga bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mewujudkan Pusat Kanser Negara Kuching.

Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran ribuan penduduk sejak 8 pagi dan pelbagai makanan serta persembahan turut disajikan.