JOHOR BAHRU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai peralatan serta bahan bagi kegiatan memproses dan mengedar arak tiruan membabitkan keseluruhan nilai termasuk cukai berjumlah lebih RM5.327 juta, selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Seri Wangi, Masai di sini, semalam

Komander Briged Tengah PGA SAC Muhammad Abdul Halim berkata lelaki berumur lingkungan 20 tahun yang disyaki pengurus kegiatan itu ditahan dalam serbuan Ops Kontraban kira-kira 4.45 petang.

Beliau berkata premis ini dijadikan sebagai tempat pemprosesan arak serta pembotolan secara haram untuk diedar dalam pasaran sekitar sini, dan campuran arak berkenaan dipercayai tidak menepati piawaian ditetapkan pihak berkuasa atau pengilang sebenar jenama arak itu.

“Kita merampas 62 tong biru berisi cecair pati arak serta 56 kotak botol berjenama McDowell’s dan Club 99, selain pelekat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disyaki palsu, dua motokar, forklift, ‘pam air’ dan telefon bimbit,“ katanya pada sidang media di premis berkenaan di sini hari ini.

Katanya anggaran nilai rampasan arak adalah RM3.747 juta dan anggaran nilai cukai arak sebanyak RM1.463 juta, manakala lain-lain rampasan bernilai RM117,000.

Muhammad berkata sindiket terbabit dipercayai memproses sendiri arak itu dengan membeli tong biru berisi pati arak sebelum dibotolkan dan ditampal pelekat dua jenama berkenaan selain pelekat JKDM untuk mengaburi pihak berkuasa dan pelanggan mereka.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai kembali aktif sejak enam bulan lepas setelah kerajaan melonggarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Sekysen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak). -Bernama