Piala Malaysia: Melaka United sah tidak beraksi kerana isu tunggakan gaji

KUALA LUMPUR: Pasukan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji, Melaka United FC (MUFC) sah tidak mendapat tempat dalam saingan Piala Malaysia 2022.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu semalam.

Keputusan tersebut dibuat disebabkan kegagalan MUFC menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.

“MUFC kini menduduki tempat kesembilan Liga Super dan tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pertandingan Piala Malaysia 2022,” menurut kenyataan itu.

Justeru, mesyuarat turut bersetuju supaya kesemua pasukan Liga Super kecuali MUFC mengisi slot dalam Piala Malaysia untuk mengekalkan bilangan 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Premier dalam kejohanan itu.

Awal bulan ini, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan daripada 17 pemain MUFC berhubung isu tunggakan gaji bulan Jun dan Julai serta sebahagian baki pembayaran pada Januari tahun ini.

Ketika ini, MFL masih belum mengumumkan secara rasmi tarikh penganjuran Piala Malaysia namun Bernama difahamkan ia bakal bermula pertengahan bulan depan atau selewat-lewatnya awal November.-Bernama