KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan sumbangan bagi menampung kos perubatan adik Tasnim Al-Ulya Amali Mohammad Raji yang hilang upaya kekal.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi kepada bapa kanak-kanak berkenaan iaitu Mohammad Raji Musa di kediaman mereka di Sungai Buloh, Selangor.

“Bagi meringankan beban yang dihadapi, saya telah menyerahkan sumbangan untuk menampung kos perubatan kepada bapa Tasnim iaitu saudara Raji,“ katanya.

Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri menziarahi kanak-kanak berusia tiga tahun itu yang diklasifikasikan sebagai hilang upaya kekal.

Anwar turut mendoakan semoga urusan adik Tasnim dan keluarganya dipermudah.

Menerusi hantaran berasingan, Perdana Menteri berkata Ahmad Farhan turut menziarahi aktivis awal reformasi Roselan Mat, atau lebih dikenali sebagai Cik Lan, di Kota Damansara di sini hari ini.

Anwar berkata Roselan menghidap masalah kesihatan kronik yang mengakibatkan beliau terputus sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

Beliau berkata dalam kunjungan itu, Ahmad Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihaknya bagi membantu urusan harian dan perubatan Roselan.

“Saya mendoakan beliau dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, insya-Allah,” kata Perdana Menteri.