TEMERLOH: Sebanyak RM270 juta dapat dijimatkan daripada aspek kos operasi penjara menerusi tiga program pemulihan banduan dalam komuniti, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (gambar).

Beliau berkata program itu ialah Orang DiParol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) yang dimulakan pada 2008 serta Perintah Kehadiran Wajib (PKW), dengan hampir 80,000 pesalah telah terlibat dengan pelaksanaannya di seluruh negara setakat ini.

Pelaksanaan program ODP dan OBB menyaksikan penjimatan RM180 juta manakala PKW, yang melibatkan lebih 6,000 pesalah, pula menjimatkan kos operasi penjara sebanyak RM90 juta.

“Selain menjimatkan kos semasa mereka dalam penjara, tiga program ini sangat baik kepada warga tembok kerana memberi pendedahan kemahiran yang boleh digunakan selepas dibebaskan kerana kita mahu mereka diterima semula oleh masyarakat.

“Program ini juga membolehkan mereka mempunyai tabung sendiri untuk digunakan apabila dibebaskan,“ katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Outreach Timbalan Menteri Dalam Negeri Bersama ODP/OBB, Majikan, Keluarga dan Masyarakat Daerah Temerloh di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di di sini hari ini.

Ismail berkata bekas banduan yang sudah didedahkan dengan latihan juga lebih mudah diserap bekerja selain sambutan positif diterima daripada majikan dan setakat ini, terdapat sejumlah 150 majikan yang sedia menerima mereka.

Antaranya Felcra, Lembaga Kemajuan Pertubuhan Peladang dan Panasonic.

Beliau berharap lebih ramai majikan turut sama memberikan peluang kedua kepada warga tembok.

Ismail turut mengulas kejayaan bekas banduan sebagai usahawan dan memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 menerusi penanaman halia, yang disifatkan beliau boleh menjadi ikon kepada banduan lain untuk sama-sama memanfaatkan peluang kedua mereka. -Bernama