KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 buah bas perantara percuma telah ditambah bagi membawa penumpang dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah dan LRT Masjid Jamek sebagai pilihan perjalanan alternatif susulan gangguan operasi antara stesen LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), dalam kenyataan memaklumkan, seramai 348 kakitangan Prasarana merangkumi anggota Polis Bantuan dan kakitangan sokongan juga ditempatkan di stesen-stesen utama bagi mengawal pergerakan penumpang dan membantu perjalanan penumpang.

“Berdasarkan pemerhatian di stesen utama seperti LRT Hang Tuah dan LRT Masjid Jamek pada waktu puncak mendapati pergerakan penumpang adalah lancar dan terkawal, walaupun sesak dengan jumlah penumpang yang tinggi ekoran warga kota telah kembali bekerja selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina,“ menurut kenyataan itu, hari ini.

Bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen, Rapid Rail memaklumkan waktu puncak pada waktu pagi dipanjangkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi, manakala waktu puncak petang telah dipanjangkan dari 4.30 petang hingga 8.30 malam melibatkan perkhidmatan LRT laluan Ampang dan Monorel bermula hari ini.

Ia bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna untuk merancang perjalanan.

Perkhidmatan LRT bagi Laluan Ampang/Sri Petaling di antara dua stesen - LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek-telah dihentikan operasi pada Jumaat lalu apabila landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya didapati bengkok, dipercayai berpunca daripada keretakan struktur ‘viaduct’ di kawasan tersebut. -Bernama