KUALA LUMPUR: Sabah FC terus memberikan tekanan kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pemburuan mahkota kejuaraan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Pemain import dari Korea Selatan, Tae-su Park muncul wira Skuad Sang Badak apabila memanfaatkan sepakan percuma dari jarak jauh Jackson De Souza untuk menanduk masuk jaringan kemenangan pada minit ke-62 sekali gus membantu pasukan meraih tiga mata berharga.

Kejayaan itu menyaksikan Sabah bimbingan bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berjaya mengumpul 22 mata, selain mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dengan kurang dua aksi berbanding Negeri Sembilan.

Di kedudukan ketiga, Negeri Sembilan mengumpul 20 mata selepas 12 perlawanan sementara JDT yang baru mengharungi sembilan perlawanan selesa di tangga teratas persada liga dengan 23 mata dan berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan kali kesembilan berturut-turut.

Sementara itu, pasukan tuan rumah Terengganu FC (TFC) berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan pasukan kedua tercorot Sri Pahang FC 2-1 dalam satu lagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit pertama hasil penyudah penyerang import kelahiran Liberia Kpah Sherman, namun skuad Tok Gajah hampir menyamakan kedudukan empat minit berselang tetapi sepakan percuma Kevin Ingreso sedikit tersasar.

TFC semakin selesa di depan menghampiri masa penuh selepas pemain sayap kebangsaan Faisal Abdul Halim menyumbat gol kedua pasukan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80 selepas beliau dijatuhkan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun Sri Pahang bangkit merapatkan jurang pada minit ke-86 selepas Abdul Malik Mat Ariff berjaya melepasi perangkap ofsaid tetapi gagal menambah jaringan sekali gus terpaksa akur tewas 1-2 dan ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut skuad kendalian Christophe Gamel.

Sementara itu, dalam aksi Liga Premier menyaksikan PDRM FC bangkit daripada kekalahan minggu lalu selepas mengatasi pasukan tercorot Perak FC 2-0 pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini malam semalam.

Dua jaringan PDRM FC masing-masing disumbangkan Mohamad Azmi Muslim pada minit ke-62 dan Milos Lacny pada minit ke-80 untuk membantu pasukan mencatat kemenangan keempat musim ini. PDRM FC di kedudukan keenam dengan mengumpul 14 mata selepas 11 perlawanan.-Bernama