KUALA TERENGGANU: Sebelas lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan sabung ayam Jun lepas.

Tertuduh ialah Md Asyraf Zuhairy Md Zainudin, 37; Mohamad Fakro Riduan Sidek, 26; Muhammad Amir Asyraf Zakaria, 27; Muhamad Hazimin Hasbollah, 27; Syed Safanizam Syed Yahya, 33; Mohd Noorsyaiful Zaidi Sulong, 32; Mohd Kamal Gani, 30; Mohd Afiq Che Awang, 36; Mohd Faizal Jusoh, 40; Mohammad Hakim Iskandar Zaidi, 24 dan Wan Muhammad Shafiq Wan Ibrahim, 23.

Kesemua mereka yang bekerja sendiri dan bekerja kampung dituduh secara bersama dan didakwa hadir pada waktu pelagaan ayam tanpa kuasa yang sah atau sebab munasabah di sebuah bangsal reban ayam di Kampung Pengkalan Rajawali di Chendering di sini, pada 2.30 pagi 10 Jun lepas.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Nooriah Osman dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Azmi Ahmad.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap setiap tertuduh, namun hakim membenarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 seorang dengan seorang penjamin.

Hakim kemudiannya menetapkan 13 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.-Bernama