TAWAU: Polis mengesahkan sembilan individu termasuk pegawai Jabatan Imigresen yang disiasat, berhubung sindiket penyeludupan pendatang Filipina ke Semenanjung Malaysia baru-baru ini, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata sembilan individu terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita itu, ditahan hari ini selepas tidak kurang lima jam dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bilangan pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Tangkapan dilakukan pada 1.50 petang di Bangunan Wisma Persekutuan Tawau Sabah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Pagi tadi, SPRM memohon di Mahkamah Majistret, agar 10 individu yang ditahan reman ekoran siasatan sindiket penyeludupan warga Filipina itu dibebaskan.

Majistret Dzul Elmy Yunus menerima permohonan pihak SPRM dan 10 tahanan itu dilepaskan dengan jaminan SPRM, mengikut Seksyen 49(2) Akta SPRM 2009.

Jumaat lalu, lima pegawai Imigresen dan empat orang awam antara 30 hingga 55 tahun yang disyaki sebagai ejen penyeludupan pendatang Filipina, direman enam hari bermula 25 Mac lalu.

Seorang lagi pegawai Jabatan Imigresen berumur 30 tahun direman enam hari bermula semalam hingga 3 April. -Bernama