PUTRAJAYA: Pemain industri ayam dan telur menerusi semangat Keluarga Malaysia bersetuju dengan margin yang munasabah dalam menentukan harga berpatutan di peringkat runcit buat masa ini, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya telah mendapat kerjasama daripada ‘ahli keluarga’ industri ayam dan telur untuk melihat semula kos serta keuntungan di setiap peringkat rantaian dan bersetuju terhadap margin yang munasabah itu sehingga harga import makanan ternakan ayam kembali stabil.

Data dan trend harga ayam yang dikeluarkan Bahagian Harga Barang Negara KPDNHEP bagi September hingga Oktober, mendapati harga purata nasional ayam bersih standard sekitar RM8.70 sekilogram (sekg) sejak pertengahan bulan lepas berbanding RM10 dan ke atas pada awal September.

“Pemeriksaan pada Isnin lepas pula mendapati hanya dua daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekg.

“Harga purata nasional bagi 30 biji telur ayam Gred A ialah RM13.20, Gred B (RM12.40) dan Gred C (RM11.80),” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan ke atas penjualan telur ayam mendapati 162 premis daripada 418 premis masih menjual pada harga melebihi RM13.20 bagi Gred A, 148 premis daripada 408 premis menjual pada harga melebihi RM12.60 bagi Gred B, dan 337 premis daripada 667 premis masih menjual telur ayam Gred C melebihi harga RM12.

“KPDNHEP yakin kerjasama dalam semangat Keluarga Malaysia akan mewujudkan situasi seimbang dan terkawal di pelbagai peringkat rantaian bekalan dan runcit yang semestinya diteruskan pada masa hadapan,“ katanya.

Tambah kenyataan itu harga jagung dan protein soya, yang menjadi makanan ayam pedaging dan ayam telur, di samping vitamin, mineral dan ubat-ubatan telah memberi kesan kepada kos operasi di semua peringkat termasuk di peringkat pengguna yang amat terkesan dengan kenaikan harga runcit di pasaran.

KPDNHEP berkata harga jagung dan protein soya yang dimport sepenuhnya, meningkat 72 peratus daripada US$236 per tan metrik pada tahun lepas kepada US$406 per tan metrik sejak pertengahan tahun ini.

Menurut KPDNHEP, Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Ahad lepas telah pergi sendiri ke sebuah integrator pengeluar ayam dan berbincang langkah-langkah mengurangkan kesan kenaikan harga import makanan ternakan terhadap harga runcit ayam serta telur di pasaran.

Sementara itu, KPDNHEP berkata seramai 1,000 pegawai pemantau harga dan 2,200 pegawai penguat kuasa digerakkan untuk membuat pemantauan serta pemeriksaan di peringkat runcit, pemborong dan pengeluar setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi, selain dijual pada harga berpatutan.

“Pengguna dinasihatkan agar bijak merancang strategi pembelian yang dapat memberikan penjimatan melalui perbandingan harga dan membeli dari premis yang menawarkan harga berpatutan,“ katanya.- Bernama