KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amir Hariri Abd Hadi memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang dihadapinya.

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Amir Hariri berkata permohonan bantahan awal itu telah difailkan semalam melalui sistem mahkamah dan ia diserahkan kepada pihak pendakwaan hari ini.

“Mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis dan 27 Mac ditetapkan untuk pendengaran bantahan awal itu,“ katanya ketika ditemui media selepas pengurusan kes di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin hari ini.

Menurut Rajsurian bantahan awal tersebut difailkan atas alasan pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah defektif (cacat).

Pada 26 Ogos tahun lepas, Amir Hariri, 32, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan gagal memberitahu pihak polis berhubung perhimpunan LCS.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa selaku penganjur telah gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang 14 Ogos 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan. -Bernama