MELAKA: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan isterinya warga Thailand dalam serbuan berasingan pada 21 Jan lepas, dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di daerah Melaka Tengah membabitkan rampasan bernilai RM206,511.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata polis menahan suspek lelaki berumur 34 tahun kira-kira pukul 8 malam di kawasan tempat letak kenderaan di sekitar Banda Hilir hasil risikan selama seminggu.

“Pemeriksaan ke atas beg kain yang digalas pada bahu suspek menemukan sejumlah botol minuman yang diisi 3,910 mililiter (ml) cecair ketamin dan serbuk ketamin seberat 75.6 gram (g).

“Siasatan lanjut juga membawa kepada serbuan di sebuah pangsapuri di Banda Hilir dan seorang wanita berumur 28 tahun diberkas selain penemuan stor simpanan pelbagai jenis bahan disyaki dadah,“ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.

Christopher berkata hasil pemeriksaan polis di rumah itu menemukan 56,700 ml cecair ketamin yang diisi di dalam sejumlah botol minuman ringan dan kultur pelbagai jenis, serbuk ketamin (2134.37 g), pil ekstasi (229 g), ketulan mampat daun kering disyaki ganja (33.53 g) dan pil Erimin 5 (144 g).

Mengulas lanjut, beliau berkata bekalan dadah berkenaan dipercayai didapati dari negeri lain dan aktiviti terbabit aktif sejak hujung tahun lepas bagi pasaran tempatan dan diedarkan di pusat-pusat hiburan di sekitar daerah berkenan.

Katanya, dadah ketamin itu juga dipercayai dicampur dan disuntik oleh suspek ke dalam botol-botol minuman terbabit untuk mengaburi kegiatan mereka selain dijual dengan harga anggaran RM150 hingga RM300 sebotol.

“Polis juga menyita harta milik sindiket berkenaan bernilai kira-kira RM25,680, antaranya sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM2,580.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek ialah negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah, mereka direman selama enam hari bermula 21 hingga 26 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya. -Bernama