JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar(gambar) hari ini menzahirkan kekesalan terhadap pemandangan Sungai Danga, di sini yang dicemari pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai itu.

Sultan Ibrahim sebelum itu telah mengemudi sendiri ‘Airboat’ milik baginda hampir sejam bermula 9 pagi tadi dengan menyusuri sungai berkenaan bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran.

Justeru, baginda telah menitahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai.

“Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.

“Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Johor juga bertitah agar Vidyananthan segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.

“Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titah baginda.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image