IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun yang disyaki membunuh isterinya di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Cahaya dekat Gopeng, semalam, kini direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah itu direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis masih menunggu laporan sampel air kencing suspek,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 74 tahun ditemukan mati dengan kesan kelar oleh anak perempuannya dan dua cucu yang pergi ke rumah berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada datuk mereka pada kira-kira 7.30 pagi.

Hasron Nazri berkata siasatan awal mendapati mangsa yang lumpuh separuh badan dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak, tinggal bersama suaminya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta perlu berjalan menggunakan tongkat.

Polis turut menemukan sebilah pisau di lokasi kejadian, katanya. -Bernama