KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus kental dan bersemangat melaksanakan tugas yang sangat mencabar dalam menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata menjadi satu keperluan untuk polis dan masyarakat terus menjalin hubungan baik selari dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dalam aspek keselamatan.

“Tugas kepolisian merupakan suatu amanah besar dan sangat mencabar. Sewajarnya hubungan saling memerlukan antara polis dengan masyarakat perlu sentiasa terjalin dan kekal utuh bagi bersama-sama memelihara keamanan dan ketenteraman awam di negara ini.

“Saya berharap agar PDRM terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara,“ katanya menerusi status di akaun Facebook sempena sambutan Hari Polis ke-217 hari ini.

Ahmad Zahid juga menyifatkan PDRM ‘sangat dekat’ dengan dirinya kerana pernah menjadi menteri yang menaungi pasukan tersebut semasa bergelar Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2018.

Sementara itu sempena sambutan Hari Polis ke-217 Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama mempertahankan negara dan memelihara keamanan, ketenteraman serta perpaduan di negara ini.

“Keamanan, ketenteraman dan perpaduan rakyat serta negara begitu bernilai dan mesti kita sama-sama pertahankan,“ katanya menerusi status dimuat naik di akaun Facebook.

Beliau juga berterima kasih kepada anggota polis atas khidmat bakti dan pengorbanan dalam melaksanakan tugas melindungi keselamatan rakyat dan negara, selain turut merakamkan penghargaan kepada pesara pasukan beruniform itu.

“Setinggi-tinggi penghormatan buat wira dan wirawati pasukan Sang Saka Biru terdahulu atas segala jasa dicurahkan demi melihat bumi Malaysia terus kekal harmoni, aman dan berdaulat hingga ke penghujungnya,“ katanya.

Turut mengucapkan Selamat Hari Polis ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menzahirkan penghargaan kepada pasukan beruniform berkenaan.

“Semoga warga sang saka biru terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, di samping memelihara kedaulatan dan kesejahteraan tanah air tercinta. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image