KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melepasi halangan pertama apabila melakar kejutan ke atas pemain ranking keenam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan All England hari ini.

Zii Jia yang kini berada di ranking ke-10 dunia menampilkan prestasi positif untuk mencatatkan kemenangan straight set 21-12, 21-19 dalam perhitungan perlawanan pusingan pertama yang berlangsung selama 49 minit di Utilita Arena, Brimingham.

Bagaimanapun, Zii Jia hampir terlepas peluang dengan kelebihan lapan mata pada set kedua apabila Naraoka bangkit daripada ketinggalan 12-20 bagi merapatkan kedudukan 19-20 sebelum Zii Jia melengkapkan mata kemenangan 21-19.

Dalam empat pertemuan sebelum ini, Zii Jia hanya menang sekali kepada Naraoka pada suku akhir edisi tahun lalu tetapi berdepan kekalahan pada pusingan pertama Terbuka China 2023, pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 dan suku akhir Terbuka India 2024.

Menanti Zii Jia di pusingan kedua esok adalah bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew yang berjaya menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long 21-12, 21-17.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke pusingan kedua selepas melakar kejutan dengan menyingkirkan gandingan ranking keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-14, 12-21, 21-15.

Kejayaan itu merupakan kali kedua dalam tujuh pertemuan dengan wakil Thailand itu.

Pada saingan pusingan kedua esok, Tang Jie-Ee Wei, ranking kesembilan dunia, akan dicabar pemenang antara beregu Denmark, Mathias Thyrri-Amalie Magelund dan Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda.

Dalam pada itu pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terkandas di pusingan pertama kejohanan kali ini selepas tewas di tangan pemain nombor enam dunia dari China, He Bing Jiao, 15-21, 20-22.-Bernama