PUTRAJAYA: Penganjuran Bengkel Hala Tuju Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) bertujuan menyelaraskan semula hala tuju agensi itu, agar lebih fokus kepada program berimpak tinggi untuk masyarakat India.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata wujud keperluan memfokuskan kembali hala tuju MITRA, memandangkan agensi itu kini di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), selain terdapat beberapa kekangan di bawah Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) 2021 yang wajar dikaji semula.

“Firma perunding PEMANDU Associate (PEMANDU), telah melaksanakan kajian terperinci berhubung PTMI.

“Melalui kajian itu, didapati hanya enam daripada 23 strategik PTMI berada di bawah bidang kuasa MITRA, (justeru) bengkel ini akan membantu menyelaras semula perkara ini agar dapat diselarikan dengan mandat MITRA,” katanya sekali gus menepis dakwaan beberapa pihak bahawa kajian semula hala tuju MITRA sesuatu yang membuang masa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel dua hari itu yang bermula hari ini dan disertai pihak berkepentingan, wakil agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan agama.

Antara mandat MITRA yang digariskan ialah strategi membasmi kemiskinan, isu kewarganegaraan dan dokumentasi, kuil dan keagamaan, serta kesejahteraan wanita.

Presiden Parti Makkal Sakti Datuk Seri RS Thanenthiran dilaporkan mengkritik keputusan KPN melaksanakan kajian hala tuju masyarakat India dan menyifatkan langkah itu sebagai memperbodohkan masyarakat itu, selain membuang masa dan wang ringgit.

Sementara itu Aaron berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah, yang tular baru-baru ini.

“Kami Kementerian Perpaduan, kami tidak mahukan perpecahan dan hanya mahukan perpaduan.

“KDNlah yang terbaik untuk menjawab berhubung isu terbabit,” katanya. - Bernama