GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan wanita warga emas yang baru-baru ini tular kerana membuat kecoh di Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi, dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemantauan selama sebulan dan mendapatkan laporan psikiatri.

Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap Sofiah Abdul Majid, 65, berikutan keadaan mental tertuduh tidak stabil.

Terdahulu, tertuduh tidak menyatakan sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan kepadanya dan ditanya sama ada faham atau tidak pertuduhan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Sofiah telah membuat satu pernyataan zahir bahawa ‘Imam dan Bilal Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Ferringhi, membaca Al-Quran seperti anjing menyalak yang dirasuk hantu Cina atau Hindu’, dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada pukul 10 malam, 12 Mac lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 April sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut selepas menerima laporan pemeriksaan psikiatri. - Bernama