KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semula hari ini.

PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk DUN Tioman.

Calon sah dinamakan bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada 5 Nov lepas, dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon untuk tujuan cabutan undi dalam menentukan giliran pada kertas undi manakala calon baharu pula boleh menyerahkan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengikut tempoh ditetapkan.

Bakal calon bagi Parlimen Padang Serai boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah.

Bagi DUN Tioman adalah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam 6 Dis.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian, Sabtu lepas (19 Nov).

Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Datuk C. Sivaraajh (BN-MIC), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15 Sabtu lepas.

PRU15 bagi DUN Tioman pula sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH-Amanah) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Umno). - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image