JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dan pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan sehingga maut di Jalan Ria 2 Taman Skudai di sini dua hari lepas, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman hingga 10 Okt depan terhadap jurujual kenderaan berusia 28 tahun dan wanita berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret R Salini di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki yang disyaki mendera kanak-kanak itu merupakan rakan kepada bapa mangsa dan kejadian berlaku di rumah lelaki itu.

Menurutnya, bapa mangsa meminta bantuan suspek lelaki itu untuk menjaga dua anaknya termasuk mangsa sejak tiga bulan lepas.

Menurut Kamarul Zaman, adik mangsa yang berusia setahun dan belum dipastikan jantinanya bagaimanapun, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image