JOHOR BAHRU: Indeks jenayah di Johor mencatatkan penurunan sebanyak 13.68 peratus atau 42 kes dari Januari hingga Jun tahun ini iaitu 265 kes berbanding 307 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Zamri Yahya berkata kejayaan itu membuktikan bahawa usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah penurunan kadar jenayah tercapai.

“Daripada jumlah (265 kes) tersebut, sebanyak 130 kes juga telah berjaya diselesaikan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Balai Polis Tampoi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Zamri turut meminta semua pihak terutama orang awam supaya bersama-sama memainkan peranan membantu pihak polis menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata ini kerana usaha mencegah jenayah perlu dilakukan dengan kerjasama semua pihak dan tidak hanya diletakkan di bahu pihak polis semata-mata.

“Masyarakat setempat, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, jawatankuasa kerja kampung dan persatuan penduduk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah jenayah.

“Polis amat mengalu-alukan semua pihak untuk bekerjasama dalam menganjurkan aktiviti cegah jenayah bersama, sekali gus memupuk kesedaran ancaman jenayah kepada masyarakat,” katanya. — Bernama