KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei ini dengan memperkenalkan Akaun Fleksibel bagi keperluan kewangan jangka pendek.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli apabila bermula tarikh tersebut semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula daripada dua akaun sebelum ini iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun.

Ia melibatkan Akaun Persaraan bagi mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan dan Akaun Fleksibel.

Akaun Fleksibel adalah akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti dengan simpanan dalam akaun itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli dan minimum pengeluaran sebanyak RM50.

“Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel,” menurut kenyataan itu.

Menurut KWSP, antara 11 Mei dan 31 Ogos ini ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel, dan sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Menurut kenyataan itu lagi, Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

“Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli,” menurut kenyataan itu.

Mengenai kaedah pindahan, bagi baki dalam Akaun Sejahtera RM3,000 dan ke atas pindahan akan dibuat melibatkan 10 per 30 (10/30) daripada baki dalam akaun itu untuk dipindahkan ke Akaun Fleksibel; lima per 30 (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan 15 per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Baki Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, pindahan akan dibuat dengan semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel, sementara baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000 amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya kekal dalam Akaun Sejahtera.

Perbezaan dalam kaedah pengagihan itu bagi membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

“Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu kali sahaja bermula daripada tarikh kuat kuasa hingga 31 Ogos dan selepas itu pilihan ini tidak boleh dibatalkan.

“Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan ini boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Permohonan bagi pengeluaran Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara dan ahli yang masih belum mendaftar KWSP i-Akaun digalakkan untuk melakukannya bagi membolehkan transaksi pengeluaran dapat dilaksanakan.

Seperti amalan sedia ada, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55, manakala caruman baharu yang diterima oleh ahli mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas.

“Ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun,” menurut kenyataan itu.