KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti berhubung data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit mencecah RM4.98 seperti yang dipaparkan oleh Google.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi hari ini, Fahmi memaklumkan kadar terkini Ringgit berbanding US$1 ialah RM4.70.

“Tak pasti, jangan kongsi! Maklumat yang dipaparkan malam tadi tidak tepat. Hakikatnya kadar terkini Ringgit berbanding US$1 adalah RM4.70,” menurut hantaran itu.

Hari ini Bank Negara Malaysia (BNM) dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran US$/MYR yang salah diterbitkan oleh Google semalam.

Menurut BNM, maklumat itu adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.

Bank pusat itu menjelaskan bahawa pada 15 Mac 2024, kadar pertukaran US$/MYR berada di paras 4.7015 pada 9 pagi dan 4.7045 pada 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi Ringgit seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.