GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 1,263 unit pelbagai alat ganti dan aksesori kenderaan jenama Hyundai disyaki tiruan bernilai RM20,087 dalam serbuan di empat premis perniagaan di negeri itu semalam.

Pengarah KPDN Negeri S. Jegan berkata serbuan yang lancarkan bersama dengan wakil pemilik cap dagang peralatan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan berhubung penjualan pelbagai barangan tiruan berkenaan.

“Hasil serbuan pihak kami berjaya menemukan barangan disyaki tiruan, terdiri daripada alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang didagangkan secara borong dan runcit.

“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019, dan keterangan semua pemilik premis telah direkodkan bagi membantu siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini. - Bernama