KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memfokuskan kepada pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai penggerak komuniti progresif pada tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui lapan bidang utama iaitu ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan diri, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta.

“Kelapan-lapan bidang tumpuan ini ditetapkan berdasarkan kepada cabaran dan keperluan semasa di peringkat komuniti dan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan R. Yuneswaran (PH-Segamat) yang ingin tahu langkah KPN untuk melestarikan perpaduan melalui KRT dan program-program KPN serta jumlah peruntukan bagi 2024 untuk kawasan Parlimen Segamat.

Aaron berkata sehingga kini, sebanyak 8,438 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara, dengan ahli jawatankuasa sejumlah 210,000 orang dan liputan penduduk pula 12.5 juta.

Menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai inisiatif KPN untuk menarik minat anak muda menyertai KRT, Aaron berkata lapan bidang utama berkenaan akan turut dijadikan rangka untuk penubuhan KRT baharu pada masa hadapan bagi menarik lebih ramai anak muda untuk menyertai KRT.

“Kita akan mulakan dengan satu daerah dan bangunkan sekurang-kurangnya satu KRT progresif (berdasarkan bidang-bidang terbabit) yang akan dijadikan model untuk (penubuhan) KRT lain bagi menarik minat anak muda.

“Ia akan bergantung kepada inovasi anak muda untuk merancang aktiviti komuniti bagi menaikkan keberkesanan KRT yang progresif,” katanya.