KUALA LUMPUR: Penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) dalam kalangan rakyat Malaysia terus meningkat pada 2023 kepada 11.5 bilion transaksi berbanding 9.3 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan hari ini berkata ia terus mencatatkan kemajuan yang memuaskan dalam mencapai sasaran Pelan Sektor Kewangan iaitu lebih daripada 15 peratus pertumbuhan tahunan terkompaun bagi transaksi e-pembayaran per kapita antara 2022 dan 2026.

Hal ini berikutan pertumbuhan e-pembayaran sebanyak 20 peratus kepada 343 transaksi per kapita pada 2023 berbanding 285 transaksi pada tahun sebelumnya, katanya.

“Pertumbuhan e-pembayaran telah disokong oleh aktiviti penggunaan dengan jumlah nilai transaksi e-pembayaran runcit terpilih meningkat sebanyak 17 peratus sehingga mencecah RM592 bilion, dilengkapkan dengan usaha kolektif sektor awam dan swasta bagi meningkatkan penggunaan e-pembayaran,“ katanya.

BNM berkata perkhidmatan pemindahan kredit membentuk bahagian terbesar transaksi e-pembayaran, iaitu sebanyak 43 peratus.

Antara pelbagai perkhidmatan pemindahan kredit yang ditawarkan, DuitNow Transfer tetap menjadi pilihan utama, dengan kadar pertumbuhan tahunan yang kekal tinggi sebanyak 32 peratus (2022: 26 peratus) dan memegang 39 peratus bahagian pasaran perkhidmatan pemindahan kredit, katanya.

Bank pusat berkata penerimaan transaksi e-pembayaran dalam kalangan perniagaan, terutamanya dalam kalangan perusahaan bersaiz kecil, terus mencatatkan perkembangan.

“Khususnya, transaksi DuitNow QR telah meningkat dengan ketara sejak pengenalan perkhidmatan ini, dipacu oleh orang ramai yang sudah biasa menggunakan perkhidmatan DuitNow QR, yang menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna kerana mudah digunakan serta kos yang rendah bagi peniaga berbanding e-pembayaran lain,“ katanya.

Sementara itu, pada 2023, BNM terus mengkaji potensi Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC), terutamanya untuk menambah baik pembayaran rentas sempadan, manakala penerokaan ke atas CBDC borong domestik diteruskan pada tahun sama dan akan terus dipergiat pada 2024.

Selari dengan perkembangan aset digital, BNM juga komited untuk memastikan penglibatan sektor kewangan Malaysia dalam aktiviti aset digital diuruskan dengan bertanggungjawab, disokong oleh pemahaman yang jelas berkenaan bagaimana aktiviti tersebut dapat mengurangkan atau meningkatkan risiko kewangan dan operasi, katanya.

“Walaupun institusi kewangan telah menunjukkan keterbukaan untuk meneroka potensi aktiviti berkaitan aset digital dan teknologi lejar teragih (DLT), tumpuan semasa mereka masih terhad kepada penyediaan perkhidmatan tradisional seperti khidmat pembayaran, akaun deposit dan akaun amanah kepada peserta aset digital,“ katanya.

Mengenai langkah selanjutnya, bank pusat itu akan terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan pembayaran serta industri perniagaan perkhidmatan wang (MSB) di Malaysia kekal selamat, cekap dan boleh dipercayai dalam menyokong keperluan ekonomi.

“Bagi mencapai matlamat ini, BNM akan terus mengenal pasti dan menangani risiko yang muncul, serta menyokong usaha bagi meningkatkan penggunaan e-pembayaran dengan lebih meluas serta bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan.

“BNM juga terus berdedikasi untuk memperteguh infrastruktur pembayaran domestik untuk masa hadapan selaras dengan aspirasi dalam Pelan Sektor Kewangan, termasuk mempergiat kajian mengenai CBDC dan pentokenan aset serta menggunakan teknologi baru muncul seperti DLT dalam sistem kewangan,“ katanya. - Bernama