KUANTAN: Pemasangan landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) fasa pertama dari Kuantan Port City (KPC), Pahang ke Dungun, Terengganu sejauh 92 kilometer (km) bagi jajaran utama, berjaya disiapkan sebulan lebih awal daripada jadual.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata kejayaan itu, dicapai dengan penggunaan mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ yang canggih buat pertama kalinya dalam industri rel di negara ini.

“Secara purata kita berjaya memasang landasan sepanjang 1.5 km hingga 2.0 km sehari dan seterusnya menyelesaikan pemasangan landasan dari KPC ke Dungun pada akhir Februari.

“Perkembangan ini membolehkan proses pemadatan landasan dari KPC ke Dungun yang melibatkan penggunaan mesin pemadat landasan dan mesin ballast regulator, dilaksanakan sepenuhnya pada awal Mac tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Projek ECRL di sini malam tadi, yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Razali Kassim yang mewakili Menteri Besar Pahang.

Darwis berkata kerja pemasangan landasan ECRL kini memasuki fasa kedua sejak 9 Mac, melibatkan jajaran utama sepanjang kira-kira 90km dari KPC ke Maran, Pahang.

“Kerja pembinaan jajaran ECRL di Pahang dilihat berjalan lancar dan telah mencapai kemajuan 58.97 peratus sehingga Februari, disokong oleh kerja terowong, pemasangan rasuk jejambat, pembinaan stesen dan pemasangan landasan,” katanya.

Secara keseluruhan, jajaran ECRL sepanjang 258km di Pahang, melibatkan pembinaan tujuh buah stesen dengan stesen Cherating dan KotaSAS untuk penumpang sahaja, manakala stesen KPC, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong merupakan stesen gabungan penumpang dan kargo.

Pada majlis itu, ECRL turut meraikan 30 orang anak yatim dan kakitangan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitul Mukmin serta Rumah Anak Yatim dan Fakir Miskin Permata Al Insyirah selain menyampaikan cek sumbangan MRL kepada beberapa wakil rumah anak yatim. - Bernama