SEPANG: Polis menyarankan suspek yang diburu bagi membantu siasatan berkaitan kejadian tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi supaya menyerah diri secara aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Hafizul Harawi, 38, diminta memberi kerjasama dengan menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata polis telah melancarkan operasi mengesan Hafizul selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejaknya.

“Saya amat menyarankan suspek supaya dapat memberi kerjasama dengan menyerah diri secara aman kepada mana-mana balai polis. Dalam konteks ini pihak polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan berbahaya.

“Justeru, orang awam yang melihat suspek diminta berkongsi maklumat namun jangan bertindak sendiri,” katanya pada sidang media selepas meninjau situasi lapangan terbang berkenaan di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata lelaki terbabit tidak mempunyai permit memiliki senjata api dan dipercayai senjata itu diperoleh secara haram.

Beliau berkata kejadian itu dipandang serius memandangkan KLIA Terminal 1 merupakan tempat awam dan penting.

“Kehadiran saya (tinjauan) ambil kira perkara itu. Kejadian (itu) bukan kali pertama, namun kawalan keselamatan lebih khusus dan terperinci akan dikaji selepas ini,“ katanya.

Mohd Shuhaily menasihati orang ramai supaya tidak gusar terhadap tahap keselamatan KLIA Terminal 1 memandangkan insiden itu bukan secara rambang tetapi lebih kepada agenda peribadi.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi tadi seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek cedera akibat terkena tembakan berkenaan dan kini dirawat di sebuah hospital.