KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan empat geng pecah rumah menyasarkan peti besi melibatkan kerugian berjumlah RM1.36 juta dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata seramai 12 suspek ditahan dan sebanyak 14 kes pecah rumah menyasarkan peti besi dapat diselesaikan dengan tumpasnya kumpulan berkenaan.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu menyasarkan rumah yang tidak didiami di kawasan elit.

“Ada kumpulan ini kenal pasti rumah tidak didiami dengan jumlah surat khabar yang terbiar di kawasan kaki lima atau koridor rumah, ini cara mereka dapatkan petunjuk bahawa rumah itu tidak berpenghuni untuk jangka masa pendek.

“Kita harap semua tidak meninggalkan tanda menunjukkan rumah tidak berpenghuni, hubungi pihak polis atau daftar dalam aplikasi VSP (Volunteer Smartphone Patrol) untuk sebarang pergerakan supaya polis boleh pantau rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Sementara itu, Jauteh berkata dalam tempoh yang sama jumlah kes jenayah di Sabah meningkat 23.34 peratus iaitu 782 kes berbanding 634 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan itu disebabkan pendekatan yang diambil bagi memastikan kertas siasatan dibuka untuk semua laporan polis yang mempunyai unsur jenayah walaupun laporan polis berkenaan tidak memerlukan siasatan seperti jumlah kerugian terlalu kecil.

“Kalau tutup atau tidak buat siasatan sudah tentu kita tidak mengetahui pattern dan taburan jenayah yang berlaku di Sabah ini dengan terperinci. Dengan cara ini strategi lebih berkesan dapat dilaksanakan dalam mencegah jenayah,” katanya.

Walaupun jumlah kes bertambah, bilangan kes yang diselesaikan juga meningkat sebanyak 65.35 peratus pada tempoh yang sama tahun ini dengan 511 kes berjaya diselesaikan.

Jauteh berkata dalam memastikan keselamatan orang ramai ketika sambutan Aidilfitri, seramai 1,041 anggota polis digerakkan dalam pelbagai operasi antaranya Ops Selamat dan Ops Pintu.

“Sebanyak 54 kawasan panas telah dikenal pasti untuk operasi ini di seluruh Sabah bagi memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.