PETALING JAYA: Polis menahan 84 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai berperanan membangunkan aplikasi judi dalam talian untuk pasaran luar negara dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan pada 3.15 petang itu pihaknya turut merampas 94 komputer riba, 105 telefon bimbit, enam kenderaan mewah serta wang tunai berjumlah RM15,849.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu berdaftar sebagai sebuah syarikat teknologi maklumat yang menggajikan semua individu terbabit sebagai pekerja teknologi maklumat untuk membangunkan aplikasi judi bagi pasaran Thailand, Brazil, China dan Vietnam dengan menawarkan gaji antara RM5,000 hingga RM20,000 sebulan.

“Kesemua 62 lelaki dan 22 wanita itu diyakinkan bahawa kerja mereka tidak menyalahi undang-undang. Polis percaya sindiket ini telah beroperasi sejak tiga tahun lepas di negeri lain dan berpindah ke sini sejak hujung tahun lepas,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Hussein sindiket berkenaan membangunkan aplikasi judi Apexplay, Play168,168KJW, Betace dan Sealottlo untuk negera-negara berkenaan.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti individu yang berperanan sebagai pemilik syarikat berkenaan dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat.

“Semua individu berusia 23 hingga 43 tahun direman hingga esok (22 Mac) dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(A), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan, mengurus dan mempromosi platform berunsur perjudian,“ katanya.

Dalam kes berlainan Hussein berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun di sebuah rumah di sini pada 15 Mac lepas kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dan penyeludupan minuman keras.

Beliau berkata dalam serbuan pada 4.10 petang itu pihaknya telah merampas 13,087 botol dan tin pelbagai jenis minuman keras tanpa cukai dianggarkan bernilai RM500,000.

Menurut Hussien kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.