KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah hari ini memfailkan permohonan hadanah atau hak penjagaan penuh terhadap dua anaknya berusia enam dan empat tahun di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam syarie Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata pihaknya memfailkan permohonan (hadanah) itu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Hadanah ini sebenarnya bukan sesuatu yang pelik kalau mengikut Seksyen 81 tersebut, pihak-pihak yang dalam proses penceraian sama ada belum bercerai pun masih boleh memohon dan selepas penceraian pun masih boleh memohon...jadi adalah hak kedua-dua pihak sama ada ibu atau bapa.

Bagaimanapun, undang-undang yang jelas dimana ibu itu adalah pihak yang terbaik untuk menjaga anak-anak itu, jadi itulah apa yang Sarah buat pada hari ini,“ katanya kepada pemberita selepas memfailkan permohonan itu di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Pelakon wanita itu menuntut hak penjagaan penuh itu terhadap dua anaknya iaitu Syaikhul Islam ,6, dan Sumayyah ,4.

Puteri Ummi Kartini berkata setakat ini salinan dokumen mengenai permohonan tersebut belum diserahkan kepada defendan iaitu suami Puteri Sarah pengarah filem Syamsul Yusof atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof.

“Buat masa ini, pihak kami belum menyerahkannya kerana masih menunggu peluang dan pihak kami baharu memfailkan permohonan (hadanah) hari ini. Jika ada peguam daripada pihak defendan (Syamsul) kita boleh serahkan kepada peguam,“ katanya dan memaklumkan tarikh sebutan semula kes itu masih belum diketahui.

Sementara itu, Puteri Sarah ketika ditemui berkata beliau membuat permohonan itu selepas difikirkan “secara tiba-tiba”.

“Sebab semalam pun tiba-tiba, kita semua main tiba-tiba,“ katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai jubah berwarna hijau ditemani Puteri Ummi Kartini.

Terdahulu, Puteri Sarah hadir bersama anak-anaknya sebelum kanak-kanak itu ditinggalkan buat seketika di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di luar mahkamah dengan penjaganya sementara wanita itu memfailkan permohonan itu.

Dalam pada itu, berhubung permohonan nusyuz yang difailkan suami Puteri Sarah, Puteri Ummi Kartini berkata pihaknya masih belum menerima saman dan tuntutan tersebut.

“Tidak mengapa kalau dia (Syamsul) kalau mahu failkan (permohonan nusyuz). Oleh itu kita akan menjawab selepas mengkaji apa tuntutan yang diminta kerana setakat ini pihak kami masih belum terima saman dan tuntutan berkenaan,“ kata peguam syarie itu.

Semalam, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya pelakon Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan itu, Syamsul antaranya mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang tanpa pengetahuan beliau sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.

Pada 16 Jan lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (pertelingkahan) berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image