PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang dalam proses menyediakan kertas Kabinet berhubung kemajuan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan depan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek itu telah berjalan dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak iaitu pada Mac 2021 dan sepatutnya siap pada Ogos 2025, namun difahamkan ia menghadapi beberapa kesulitan yang menjejaskan perkembangannya.

Beliau berkata antara yang memberi kesan kepada kemajuan sistem berkenaan adalah dari segi masalah berkaitan sumber manusia dan kekangan kapasiti.

“Saya mesti laporkan (kepada kabinet) apa yang berlaku... selepas dua tahun, bagaimana perkembangannya, saya tak boleh selindung satu benda pun, saya kena laporkan,“ katanya dalam majlis dialog bersama media di sini hari ini.

Saifuddin berkata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Negeri Datuk Ruji Ubi telah diarah mempengerusi beberapa mesyuarat untuk memantau kemajuan NIISe secara tepat dalam membantu membuat kertas Kabinet supaya Jemaah Menteri mendapat gambaran tepat mengenainya.

Beliau berkata Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenai NIISe selepas pembentangan kertas Kabinet itu.

Sementara itu Saifuddin berkata KDN menyasarkan untuk memproses 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan tahun ini, dan sehingga hari ini 5,600 permohonan telah diluluskan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image