KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Negara diseru memainkan peranan yang lebih aktif agar usaha memperkasakan lagi peranan institusi itu sebagai badan perundangan tertinggi dan merealisasikan kedudukan Parlimen Malaysia seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, dapat dipenuhi.

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal berkata antara peranan lain yang boleh diterajui para senator ialah menggiatkan penglibatan dalam diplomasi Parlimen.

“Dalam tempoh yang singkat saya memegang jawatan ini, saya dikunjungi beberapa tetamu kehormat luar negara.

“Interaksi sebegini juga membolehkan Yang Berhormat Senator bekerjasama dalam inisiatif undang-undang dan kerangka dasar yang mengatasi cabaran global seperti perubahan iklim, keganasan, hak asasi manusia dan perdagangan,” katanya dalam ucapan pembukaan sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata dengan berkongsi pengetahuan dan kepakaran, Ahli Dewan Negara juga dapat mengembangkan penyelesaian yang lebih berinformasi dan komprehensif untuk isu-isu yang kompleks, seterusnya dapat membantu proses meneliti, menyemak dan menimbang undang-undang di Dewan Negara.

Sehubungan dengan itu, Mutang berharap para senator lebih proaktif menggunakan rangkaian profesional melalui Parlimen Malaysia sebagai laluan diplomatik dalam mengembangkan hubungan antara Parlimen mahupun hubungan antarabangsa secara menyeluruh.

“Dari semasa ke semasa saya juga akan menjemput Yang Berhormat Senator untuk turut hadir bersama saya semasa menerima kunjungan hormat dari luar negara ini.

“Ini adalah juga satu inisiatif saya untuk menyokong Ahli-ahli Yang Berhormat mengembangkan lagi rangkaian mengikut bidang profesional masing-masing,” katanya.

Dalam ucapan itu, Mutang turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia pada 21 Feb lepas dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Beliau menyifatkan Allahyarham seorang tokoh dan pemimpin yang komited dalam perjuangan, berprinsip dan seorang sahabat yang budiman.

“Untuk itu, saya mengajak Dewan yang mulia ini untuk bertafakur selama satu minit sebagai tanda hormat mengenang pemergian Allahyarham,” katanya.