KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengesahkan tiada sebarang ketirisan data peribadi berlaku susulan dakwaan serangan siber yang dilakukan oleh sebuah kumpulan penggodam yang dikenali sebagai R00TK1T terhadap syarikat pengendali telekomunikasi Maxis Berhad (Maxis).

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata syarikat itu telah memberi notifikasi sewajarnya kepada JPDP bagi mengesahkan tiada ketirisan data peribadi hasil daripada forensik digital yang telah dilaksanakan.

JPDP juga, katanya telah melaksanakan siasatan susulan daripada notifikasi yang diterima itu dan mendapati tiada data peribadi yang terlibat berdasarkan kepada sampel data dikemukakan.

“Susulan daripada ancaman oleh R00TK1T untuk menutup rangkaian Maxis, syarikat itu telah melaksanakan tindakan proaktif bagi menyemak kesahihan dakwaan ini dan mendapati bahawa hanya portal Maxis Interactive Retail Assistant (MIRA) Queue Management System di satu cawangan Maxis terkesan.

“Sistem ini merupakan sistem standalone dan tidak mempunyai sebarang sambungan kepada mana-mana sistem kritikal Maxis,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) berhubung ancaman kumpulan R00TK1T untuk menutup rangkaian Maxis.

Gobind berkata CyberSecurity Malaysia dan JPDP serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan untuk memastikan keselamatan data dan juga infrastruktur digital negara selamat.

Kementerian, katanya akan terus bekerjasama dengan NACSA dan agensi siber luar negara untuk menjejak dan mengambil tindakan terhadap pelaku ancaman.

Sementara itu, Gobind berkata pihaknya sentiasa memastikan kepakaran dalam sektor itu berada pada tahap memuaskan dan bersedia bergerak ke hadapan menghadapi ancaman pada masa depan.

Beliau berkata antara langkah yang dilakukan ialah melaksanakan beberapa program untuk meningkatkan pembangunan kapasiti dan menawarkan biasiswa daripada EC-Council sebanyak RM5 juta kepada 2,000 orang.

“Kita juga akan bekerjasama dengan universiti dan syarikat swasta dalam mengukuhkan lagi aspek ini,” katanya bagi menjawab soalan tambahan daripada Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang bertanyakan tentang langkah kementerian untuk meningkatan jumlah pakar keselamatan siber. - Bernama