PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat penjawat awam dan masih mengesan seorang lagi kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Empat suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat, selepas permohonan reman oleh SPRM dibenarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, keempat-empat lelaki berusia 40-an hingga 50-an ditahan di sekitar Lembah Klang antara 11.30 pagi hingga 4 petang semalam dalam operasi khas oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam operasi berkenaan, SPRM telah menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam itu yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak 2018 hingga 2023.

“Setakat ini sindiket tersebut dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai dianggarkan kira-kira RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,“ menurut sumber itu.

Turut dirampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta dianggarkan bernilai hampir RM6 juta, selain membekukan 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

“Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen,” menurut sumber.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi individu yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. - Bernama