KUALA LUMPUR: Tiga remaja perempuan yang mendakwa mereka daripada ‘kelab motosikal Awek Melaka’ ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata penahanan itu susulan klip video memaparkan tiga remaja terbabit melakukan aksi Superman yang dimuat naik seorang individu di aplikasi X (Twitter) pada 5.34 petang, 10 Mac lepas.

“Bertindak atas maklumat, semalam, unit risikan/operasi JSPT Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Melaka Tengah mengambil tindakan untuk mengesan mereka yang terlibat di sekitar Melaka dan menahan tiga remaja berusia 16 hingga 18 tahun itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu pihaknya turut merampas motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang disyaki digunakan mereka dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata hasil soal siasat mendapati kesemua yang ditahan adalah daripada kumpulan kelab berkenaan dan kesemua ahli menetap di sekitar Melaka.

Mohd Azman berkata ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang secara konvoi dari sebuah kedai makan di Serdang, Selangor dan menjadikan lebuh raya PLUS sebagai tempat melakukan aksi berbahaya tersebut kerana terpengaruh sesama sendiri.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan jalan raya. - Bernama