JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan 19 bas bagi membolehkan 722 pelajar mereka pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata program Jom Balik Raya Bersama Zakat UTM yang menyediakan tiket bas secara percuma itu berlangsung dua hari bermula malam tadi hingga hari ini.

“Proses penghantaran pulang pelajar ini melibatkan sembilan negeri yang terbahagi kepada tiga zon utama iaitu Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Pantai Timur.

“Program ini merupakan satu daripada tanda keprihatinan UTM dalam menjaga kebajikan para pelajar di universiti ini sekali gus meringankan beban mereka untuk pulang ke kampung halaman,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata program tajaan Unit Zakat dan Kebajikan, Pusat Islam UTM itu ialah anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Unit Pengurusan Kenderaan (UTM Fleet) dan barisan Persatuan Anak Negeri UTM.

Menurut beliau, penajaan itu melibatkan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM41,183 yang merangkumi kos tiket bas dan kit juadah sahur bagi pelajar yang terlibat.

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata kaedah pembelajaran secara dalam talian bermula hari ini bakal memberi ruang kepada kira-kira 22,000 pelajar UTM untuk pulang ke kampung halaman lebih awal bagi membuat persiapan Aidilfitri.